Ramadhan al-Mubarak bertandang lagi. Serentak itu juga bermula satu fenomena masyarakat, iaitu perlumbaan mengambil kesempatan di atas kehadiran bulan mulia lagi berkat ini.
Sepertimana namanya sebagai al-Mubarak, yakni bulan penuh keberkatan, maka antara intipati utama keberkatan Ramadhan itu ialah janji Allah Ta’ala bahawa di sepanjang bulan mulia ini disediakan berbagai bentuk peluang dan keistimewaan yang perlu direbut. Untuk itu, Islam mengajar kita bahawa perlumbaan paling utama bagi umatnya ialah mengejar dan memanfaatkan pelbagai kelebihan yang disajikan Allah Ta’ala di bulan penuh berkat ini.
Antaranya peluang dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka, serta dibelenggu segala syaitan. Keadaan itu sepatutnya menjadikan kita tiada lagi alasan untuk tidak terdorong melakukan kebaikan.
Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w. ada menyebut bahawa Ramadhan menyajikan peluang untuk umat Islam mengejar rahmat, maghfirah (keampunan) dari Allah dan pembebasan daripada api neraka.
Manakala Ramadhan sebagai bulan al-Quran pula membentangkan umat Islam dengan lautan nikmat dan rahmat yang terkandung di dalam kitab suci itu sendiri. Hanya dengan mendampingi dan menghayati kandungannya, umat Islam akan benar-benar dapat mengecapi hakikat al-Quran sebagai “hudan lin-naas” (petunjuk bagi manusia), “bayyinatin minal huda” (memperjelaskan jalan kepada petunjuk) dan “al-furqan” (yang membezakan), yakni menerangkan kepada manusia tentang mana hak dan batil, beza antara iman dan kufur, Islam dan jahiliyah.
Allah Ta’ala mengangkat lagi keistimewaan Ramadhan dengan adanya satu malam amat berkat yang dinamakan Lailatul Qadar. Satu malam itu disebutkan di dalam al-Quran ‘lebih baik daripada seribu bulan’, yakni kira-kira 83 tahun.
Di bulan Ramadhan juga Allah Ta’ala menggandakan ganjaran pahala bagi setiap amal. Sesuatu amal sunat diberi ganjaran seperti amal fardhu, manakala satu amal fardhu dilipatgandakan ganjarannya sehingga 70 kali.
Betapa pun ghairah masyarakat kita memanfaatkan kehadiran Ramadhan dengan perlumbaan ukhrawi itu, kita tidak boleh menafikan betapa kita juga ikut terjebak dengan perlumbaan yang lebih menjurus kepada kepentingan duniawi.
Di negara kita, mahu pun di serata dunia Islam, kehadiran Ramadhan seakan sinonim dengan pesta makanan. Berbagai juadah dan masakan enak yang antaranya tidak ditemui di bulan-bulan lain sepanjang tahun, tiba-tiba muncul berlambak-lambak di bulan puasa.
Sebilangan umat Islam mengambil kesempatan berniaga. Gerai dan kanopi menjual kuih-muih dan lauk-pauk terpacak di hampir setiap lokasi strategik di segenap pelusuk tanahair. Tabiat umat Islam yang tidak lokek berbelanja dan terdorong pula oleh kemaruk selera perut yang lapar, menyuburkan aktiviti perniagaan segera ini.
Selain perniagaan makanan dan minuman, bahan mentah dan keperluan dapur, turut mula dipromosi secara hebat sebermula Ramadhan ialah perniagaan pakaian dan lain-lain keperluan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Idulfitri. Keghairahan menyambut kedatangan Hari Lebaran mendorong umat Islam tidak begitu mengambil kira soal harga ditawarkan peniaga.
Satu fenomena yang semakin menjadi kecenderungan masyarakat negara kita sejak beberapa dekad kebelakangan ini ialah untuk berbuka puasa di luar. Disebabkan wujudnya permintaan dan kecenderungan masyarakat, maka hidangan bufet Ramadhan kini menjadi perlumbaan di kalangan restoran, resort, hotel dan berbagai lokasi berprestij lain.
Namun suatu pendedahan agak membimbangkan, tidak semua premis yang menawarkan sajian berbuka puasa itu diyakini status halal mereka. Satu kenyataan dari Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz sepertimana dipetik kebanyakan media cetak pada Rabu mendedahkan hanya 22 daripada sekian banyak hotel di sekitar Wilayah Persekutuan yang diberikan pensijilan halal oleh pihaknya.
Di atas hakikat itu, beliau memberi amaran kepada pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal agar tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadhan (menggambarkan seolah-olah ianya halal) atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.
Akhbar pada hari sama turut mendedahkan majoriti kopitiam di ibukota masih belum memiliki pengesahan halal oleh Jakim. Kita percaya kes-kes dihadapi premis makan di sekitar ibukota itu turut dihadapi di seluruh negara.
Ertinya, ancaman wujudnya kemungkinan umat Islam yang berpuasa disajikan makanan yang diragui status halalnya atau termasuk kategori syubhah bukan perkara yang boleh dipandang remeh lagi. Kita diajar betapa pahala dan kesempurnaan ibadat puasa itu boleh terhakis dan terkikis oleh beberapa perkara. Antaranya apabila orang berpuasa itu terlibat dalam perkara syubhah, termasuk mengambil makanan yang diragui status halalnya.
Islam mengajar kita bahawa yang halal dan haram itu jelas, sedangkan yang di tengah-tengah antara keduanya adalah syubhah atau perkara meragukan. Cara terbaik memastikan lapar-dahaga dan keletihan kita sepanjang hari tidak berlalu sia-sia ialah dengan menjauhi sesuatu yang syubhah.
Alang-alang kita sudah bersedia berlumba mendapatkan berbagai keutamaan dan kesitimewaan disajikan Allah Ta’ala di bulan penuh berkat ini, mengapa tidak kita pastikan perlumbaan kita itu tidak dicemari dengan sikap tidak cermat kita sendiri di dalam memilih sajian yang halal lagi baik?
Hayatilah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 168 (bermaksud):
“Wahai manusia, makanlah apa-apa yang ada di muka bumi daripada benda-benda yang halal lagi baik dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia (syaitan) seteru kamu yang nyata.”
No comments:
Post a Comment